Foto: Pexels
Oleh Dr Fatin Nur Majdina Nordin
Pernahkah kita berasa cepat marah apabila terlalu lapar? Atau tiba-tiba mengantuk dan sukar memberi tumpuan selepas menikmati makan tengah hari yang terlalu berat? Ada juga masanya, ketika tertekan dengan kerja atau masalah kehidupan, tangan kita tanpa sedar mencapai coklat, kerepek atau minuman manis. Seolah-olah makanan bukan sekadar mengisi perut, tetapi turut menjadi tempat kita mencari keselesaan apabila emosi tidak menentu.
Apabila berbicara tentang emosi, kita lazimnya mengaitkan rasa marah, sedih atau tertekan dengan beban kerja, kesesakan jalan raya dan masalah kehidupan. Jarang sekali kita memikirkan bahawa makanan di atas pinggan juga mungkin memainkan peranan. Hakikatnya, hubungan antara pemakanan dan emosi berlaku dalam dua arah. Emosi mempengaruhi pilihan makanan, manakala corak pemakanan berpotensi mempengaruhi fungsi otak dan kesejahteraan emosi. Persoalannya, bagaimana makanan yang masuk ke dalam perut boleh berkait dengan perasaan yang kita alami?
Bayangkan otak seperti enjin yang tidak pernah berhenti beroperasi, termasuk ketika kita tidur. Setiap proses berfikir, mengingat dan mengawal tindak balas memerlukan tenaga serta nutrien yang mencukupi. Protein, vitamin, mineral dan lemak tertentu menyokong fungsi sel saraf serta penghasilan bahan kimia otak yang dikenali sebagai neurotransmiter. Antaranya serotonin yang terlibat dalam pengawalan emosi, dopamin yang berkait dengan motivasi dan ganjaran, serta GABA yang membantu mengawal aktiviti saraf.
Telur, ikan, ayam, tempe dan kekacang membekalkan protein yang diperlukan tubuh, manakala sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh menyediakan vitamin, mineral serta serat. Sebaliknya, pemakanan yang terlalu bergantung pada minuman bergula dan makanan ultra-proses boleh menyebabkan makanan berkhasiat terabai. Namun, ini tidak bermakna sepotong kek menyebabkan kemurungan atau sepinggan sayur mampu menghilangkan tekanan. Apa yang penting ialah corak pemakanan keseluruhan dan amalan berterusan.
Menariknya, usus juga berkomunikasi dengan otak melalui sistem yang dikenali sebagai paksi usus-otak (gut-brain axis). Komunikasi ini melibatkan saraf, hormon, sistem imun dan mikrobiota usus. Penyelidikan sedang meneliti bagaimana perubahan mikrobiota mungkin berkait dengan tekanan, kebimbangan dan kemurungan. Walaupun hubungan sebab dan akibat masih dikaji, pengambilan makanan pelbagai yang kaya dengan serat merupakan langkah baik untuk menyokong kesihatan usus.
Persoalan seterusnya, adakah perubahan diet benar-benar membantu kesihatan mental? Kajian klinikal di Australia pada 2017 melibatkan 67 orang dewasa yang mengalami kemurungan mendapati bahawa penambahbaikan pemakanan melalui diet Mediterranean selama 12 minggu membantu mengurangkan gejala kemurungan berbanding kumpulan sokongan sosial. Manakala kajian rintis oleh University of California, San Francisco (UCSF) pada 2026 melaporkan penambahbaikan gejala kemurungan selepas pengurangan makanan ultra-proses. Di Malaysia, kajian melibatkan 176 pelajar universiti turut menemukan hubungan antara pengambilan beberapa kumpulan makanan dengan tekanan dan kebimbangan. Bagaimanapun, dapatan ini belum membuktikan hubungan sebab dan akibat secara muktamad.
Diet Mediterranean yang sering dikaji menekankan sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, bijirin penuh, ikan dan lemak sihat. Namun, pemakanan seimbang tidak semestinya mahal kerana makanan tempatan seperti ikan kembung, telur, tempe, sawi, bayam dan betik juga kaya dengan nutrien penting. Kita tidak perlu terlalu mengejar gelaran superfood, iaitu makanan yang dianggap mempunyai khasiat luar biasa, sebaliknya mengutamakan tiga prinsip pemakanan sihat, iaitu kepelbagaian, kesederhanaan dan konsistensi.
Dalam perspektif Islam, pemakanan bukan sekadar memenuhi keperluan biologi, tetapi turut berkait dengan amanah menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
Prinsip halalan tayyiban dalam ayat ini mengajak kita mempertimbangkan bukan sahaja status halal makanan, tetapi juga kebersihan, keselamatan, kualiti dan kesesuaiannya dengan kesihatan. Imam al-Ghazali dalam buku beliau Ihya’ ‘Ulum al-Din turut menekankan kesederhanaan dalam makan agar manusia mampu memelihara kekuatan tubuh, disiplin diri dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Namun, sejauh manakah prinsip ini diterjemahkan dalam kehidupan? Kita mungkin memastikan makanan itu halal, tetapi adakah kita turut mengambil kira kandungan gula, garam, lemak dan saiz hidangan? Hal ini mengingatkan kita untuk tidak berlebih-lebihan bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-A‘raf ayat 31 yang bermaksud:
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali memasuki masjid, dan makanlah serta minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”
Kesederhanaan dalam konteks ini bukan bermaksud menafikan kenikmatan makanan, sebaliknya mendidik kita mengurus pengambilan secara berhemah.
Hubungan antara pemakanan dan pengawalan emosi turut dapat direnungkan melalui ibadah puasa. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi melatih kesabaran, disiplin serta pengawalan tingkah laku. Rasulullah SAW mengingatkan supaya orang berpuasa menghindari pertengkaran dan menyatakan, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa” apabila dicaci (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dari sudut sains, kesan pelbagai corak puasa terhadap metabolisme dan kesejahteraan psikologi masih dikaji. Kesannya berbeza antara individu; justeru, puasa bukan jalan pintas untuk merawat kemurungan.
Pada masa yang sama, emosi turut dipengaruhi oleh tidur, aktiviti fizikal, hubungan sosial dan tekanan kehidupan. Pemakanan sihat bukan pengganti rawatan kesihatan mental apabila diperlukan.
Jadi, bagaimana hendak bermula? Ada tiga pesanan mudah yang boleh kita amalkan.
Pertama, jaga pinggan dengan mengamalkan konsep Suku-Suku-Separuh. Hidangan ringkas seperti nasi, ikan atau telur, bersama sayur-sayuran dan buah-buahan sudah memadai sebagai asas pemakanan seimbang.
Kedua, kurangkan manis dalam pemakanan, tambahkan manis dalam senyuman dengan mengurangkan pengambilan gula, minum air kosong secukupnya, kekal aktif, mendapatkan tidur berkualiti dan memelihara hubungan sosial yang baik.
Ketiga, makan dengan sedar, bukan sekadar sedap, dengan mengenali rasa lapar dan kenyang, memahami sebab kita makan serta mengamalkan kesederhanaan dalam setiap hidangan.
Kita mungkin tidak mampu mengawal semua tekanan kehidupan, tetapi masih mempunyai ruang untuk membuat pilihan kecil yang bermakna. Kerana akhirnya, menjaga apa yang ada di atas pinggan bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi juga sebahagian daripada ibadah dan usaha kita menjaga fikiran, mengurus perasaan dan menghargai diri.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Foto: Pexels
