Foto: Facebook Universiti Malaya
Oleh Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki
Bulan November tahun ini menyaksikan suasana konvokesyen mewarnai pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia. Universiti demi universiti meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Jubah akademik yang tersarung kemas, senyuman para graduan dan kehadiran ahli keluarga yang turut berkongsi kegembiraan menjadi pemandangan yang cukup sinonim dengan musim ini. Bagi setiap graduan, detik tersebut pastinya membawa makna tersendiri setelah melalui perjalanan panjang untuk mencapai kejayaan yang diraikan.
Sepanjang berada di universiti, kehidupan mahasiswa banyak tertumpu kepada pengajian. Ada jadual kuliah yang perlu dipatuhi, tugasan yang perlu disiapkan, peperiksaan yang perlu dihadapi dan pelbagai komitmen lain yang menuntut perhatian. Dalam tempoh tersebut, mereka bukan sahaja berusaha memenuhi tuntutan akademik, malah belajar mengurus masa, membina hubungan dan menghadapi pelbagai cabaran kehidupan kampus. Setelah bertahun-tahun melalui pengalaman tersebut, akhirnya mereka berjaya mencapai satu matlamat yang diusahakan sekian lama. Namun, di sebalik kegembiraan menerima segulung ijazah, pernahkah kita terfikir apakah yang bakal menanti mereka selepas ini?
Bagi sesetengah graduan, perjalanan seterusnya mungkin sudah dirancang. Ada yang telah mendapat pekerjaan, ada yang bakal menyambung pengajian dan ada juga yang mempunyai perancangan tersendiri untuk membina masa hadapan. Namun, tidak semua orang mempunyai peluang dan laluan yang sama. Ada graduan yang masih mencari pekerjaan, ada yang belum pasti bidang yang ingin diceburi dan ada juga yang perlu menyesuaikan impian dengan keadaan sebenar. Hakikatnya, kehidupan selepas universiti tidak semestinya berjalan seperti yang dirancang.
Kelayakan akademik yang diperoleh mungkin membuka banyak peluang, tetapi ia bukan jaminan bahawa segala urusan akan menjadi mudah. Dunia selepas graduasi menuntut seseorang membuat keputusan, memikul tanggungjawab dan berhadapan dengan situasi yang mungkin berbeza daripada pengalaman sepanjang pengajian.
Dalam keadaan sedemikian, kemampuan seseorang menyesuaikan diri menjadi antara aspek penting untuk menghadapi fasa kehidupan seterusnya. Pengetahuan yang diperoleh di universiti perlu disertai dengan kematangan dalam berfikir, kebijaksanaan membuat pertimbangan dan kesediaan untuk terus belajar. Pengalaman sepanjang pengajian mungkin telah memberikan asas untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran, tetapi tidak semua perkara dapat dijangka atau dipelajari melalui kuliah dan bahan bacaan. Ada pengalaman yang hanya dapat difahami setelah kita sendiri berhadapan dengan situasi sebenar. Keupayaan menerima teguran, mengakui kelemahan dan memperbaiki kesilapan juga menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang berterusan.
Di sinilah saya melihat kepentingan pendidikan Jati Diri sepanjang tempoh pengajian. Walaupun institusi berbeza mungkin menggunakan nama kursus atau pendekatan yang berlainan, usaha membentuk sahsiah dan keperibadian mahasiswa tetap penting. Kita tidak mahu mahasiswa hanya keluar dari universiti dengan segulung ijazah, tetapi kurang bersedia menghadapi tanggungjawab sebagai anggota masyarakat. Ilmu dan kelayakan akademik sememangnya penting, namun nilai seperti disiplin, integriti, kebolehan berkomunikasi, kerjasama dan ketahanan diri turut memainkan peranan dalam menentukan bagaimana seseorang membawa dirinya selepas meninggalkan alam pengajian. Nilai-nilai ini akan terus menjadi panduan apabila mereka memasuki alam pekerjaan dan berinteraksi dengan masyarakat yang lebih luas. Pendidikan seharusnya melahirkan individu yang bukan sahaja berpengetahuan, malah tahu menggunakan pengetahuan tersebut dengan penuh tanggungjawab.
Pada masa yang sama, kita juga perlu mengubah cara melihat kejayaan. Tidak semestinya seseorang yang mendapat pekerjaan lebih awal itu lebih berjaya berbanding mereka yang masih mencari peluang. Begitu juga, perjalanan seseorang yang menyambung pengajian tidak semestinya lebih baik daripada mereka yang memilih untuk terus bekerja. Setiap individu mempunyai keadaan, keutamaan dan tanggungjawab yang berbeza. Ada yang perlu membantu keluarga, ada yang mempunyai komitmen tertentu dan ada juga yang memilih untuk meneroka peluang di luar bidang pengajian mereka. Apa yang penting ialah bagaimana mereka memanfaatkan peluang yang ada dan terus berusaha memperbaiki diri tanpa terlalu membandingkan perjalanan masing-masing. Perjalanan hidup bukan suatu perlumbaan yang menetapkan semua orang perlu sampai ke destinasi pada waktu yang sama.
Kepada para graduan yang sedang meraikan kejayaan pada musim konvokesyen ini, tahniah atas pencapaian yang telah diperoleh. Nikmatilah detik ini bersama insan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan anda. Hargailah sokongan keluarga, pensyarah dan sahabat yang turut membantu sepanjang tempoh pengajian. Namun, jangan pula menganggap bahawa segala-galanya telah selesai. Selepas ini, akan ada tanggungjawab baharu, keputusan yang perlu dibuat dan cabaran yang mungkin tidak pernah terlintas sebelum ini. Hadapilah semuanya dengan ilmu, keyakinan dan jati diri yang telah dibina selama ini. Tidak mengapa sekiranya perjalanan selepas ini tidak sepenuhnya seperti yang dirancang, asalkan setiap langkah diambil dengan kesungguhan dan pertimbangan yang baik.
Bagi mahasiswa yang masih dalam pengajian, perjalanan para graduan ini juga boleh dijadikan satu peringatan bahawa kehidupan universiti bukan sekadar tentang mendapatkan keputusan yang baik atau memenuhi syarat untuk bergraduat. Gunakanlah tempoh pengajian untuk membina kebolehan, mengenali potensi diri dan mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yang lebih mencabar. Jangan memandang ringan kursus atau aktiviti yang memberi ruang untuk membentuk sahsiah, nilai dan keperibadian, walaupun mungkin tidak berkait secara langsung dengan bidang pengkhususan masing-masing. Jangan hanya menumpukan perhatian kepada perkara yang dinilai melalui peperiksaan, sedangkan masih banyak pengalaman dan kemahiran lain yang boleh diterokai sepanjang berada di universiti. Setiap peluang untuk belajar, mencuba sesuatu yang baharu dan memperbaiki kelemahan merupakan sebahagian daripada persediaan untuk menghadapi masa hadapan.
Konvokesyen bukan sekadar upacara meraikan kejayaan akademik, tetapi juga ruang untuk seseorang melihat kembali sejauh mana perjalanan yang telah ditempuh dan menghargai segala pengalaman yang membentuk dirinya. Segulung ijazah mungkin menjadi bukti pencapaian dalam bidang ilmu yang diceburi, namun nilai sebenar pendidikan turut terserlah melalui cara seseorang berfikir, membuat keputusan dan menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan. Apa yang dipelajari dan dibentuk sepanjang berada di universiti seharusnya terus dibawa ke mana sahaja langkah selepas ini. Hal ini kerana, pada akhirnya kejayaan bukan hanya tentang sejauh mana seseorang berjaya melangkah, tetapi juga tentang bagaimana dia membawa ilmu, nilai dan jati dirinya dalam setiap perjalanan. Di sebalik garisan penamat yang diraikan hari ini, terbentang perjalanan baharu yang menanti untuk ditempuh.

Penulis ialah Penyelaras Kursus Jati Diri di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya.
Foto: Facebook Universiti Malaya
