Foto: Pexels
Oleh Nathir Bin Mehamad
“Doktor, kalau saya tidak boleh mempunyai anak, adakah saya masih lelaki yang sempurna?”
Soalan itu mungkin kedengaran ringkas, tetapi di sebaliknya tersimpan perasaan malu, kecewa dan ketakutan yang sukar diluahkan. Bayangkan seorang lelaki berusia 30-an yang sudah beberapa tahun berkahwin. Dia dan isterinya begitu mengimpikan kehadiran cahaya mata, namun setiap bulan harapan mereka berakhir dengan kekecewaan.
Selepas menjalani pemeriksaan kesuburan, dia dimaklumkan bahawa masalah tersebut mungkin berkait dengan komplikasi jangkitan kelamin yang pernah dialaminya. Seketika, dunianya seolah-olah terhenti.
Bukan sahaja bimbang tentang peluang memperoleh zuriat, dia mula mempersoalkan harga diri, kemampuan sebagai suami dan penerimaan isterinya.
Hakikatnya, bagi sesetengah lelaki, diagnosis ketidaksuburan atau infertiliti bukan sekadar masalah kesihatan. Ia boleh menjadi ujian besar terhadap emosi, keyakinan diri dan keharmonian rumah tangga.
Apabila kesuburan menjadi ukuran kelelakian
Dalam masyarakat kita, lelaki sering dikaitkan dengan kekuatan, kemampuan seksual dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Malah, kebolehan memperoleh zuriat kadangkala dianggap sebagai lambang kelelakian.
Namun, adakah seorang lelaki menjadi kurang bernilai hanya kerana menghadapi masalah kesuburan?
Sudah tentu tidak.
Kesuburan ialah sebahagian daripada kesihatan reproduktif, bukannya ukuran maruah atau nilai seseorang. Malangnya, stigma masyarakat menyebabkan sesetengah lelaki memilih untuk berdiam diri apabila menerima diagnosis infertiliti.
Ada yang malu mendapatkan rawatan, menjauhkan diri daripada pasangan atau menyembunyikan kesedihan kerana takut dianggap lemah. Lebih menyakitkan apabila mereka terpaksa berhadapan pertanyaan keluarga seperti, “Bila lagi nak dapat anak?”
Soalan yang mungkin dianggap biasa itu boleh menambahkan tekanan kepada pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.
Penyakit jangkitan kelamin seperti gonorea dan klamidia boleh menyebabkan keradangan pada sistem reproduktif lelaki. Dalam keadaan tertentu, jangkitan yang menyebabkan komplikasi seperti keradangan epididimis atau kerosakan saluran reproduktif berpotensi menjejaskan kesuburan.
Bagaimanapun, bukan semua jangkitan kelamin menyebabkan seseorang menjadi tidak subur. Kesannya bergantung pada jenis jangkitan, komplikasi yang berlaku dan rawatan yang diterima.
Masalah kesuburan lelaki juga boleh berpunca daripada faktor lain, termasuk gangguan hormon, masalah penghasilan sperma atau keadaan kesihatan tertentu. Oleh itu, diagnosis infertiliti tidak boleh dianggap sebagai bukti seseorang pernah melakukan kesalahan moral.
Pemeriksaan oleh doktor penting untuk mengenal pasti punca sebenar dan menentukan pilihan rawatan yang sesuai.
Apabila keyakinan diri mula runtuh
Dalam psikologi, terdapat istilah konsep kendiri seksual, iaitu cara seseorang menilai dan menerima dirinya dalam aspek seksual serta hubungan intim. Apabila lelaki menerima diagnosis infertiliti, keyakinan ini mungkin tergugat.
Dia mungkin merasakan dirinya gagal sebagai suami, walaupun hubungan perkahwinannya sebelum itu bahagia. Ada juga yang mula mengelakkan hubungan intim kerana setiap kali bersama pasangan, mereka teringat kegagalan mendapatkan kehamilan.
Akhirnya, hubungan yang sepatutnya menjadi ruang kasih sayang bertukar menjadi pengalaman penuh tekanan. Jika keadaan berlarutan, pasangan mungkin semakin sukar berkomunikasi dan memahami perasaan masing-masing. Namun, masalah ini bukan bermakna kebahagiaan rumah tangga sudah berakhir.
Sokongan suami isteri amat penting ketika menghadapi masalah kesuburan. Daripada saling menyalahkan, pasangan perlu memahami bahawa infertiliti merupakan cabaran kesihatan yang perlu dihadapi bersama.
Ungkapan mudah seperti, “Kita hadapi masalah ini bersama-sama,” boleh memberikan ketenangan kepada pasangan yang sedang bergelut dengan perasaan bersalah.
Keintiman rumah tangga juga tidak terbatas kepada hubungan seksual atau usaha mendapatkan anak. Ia turut terbina melalui komunikasi, perhatian, sentuhan mesra dan masa berkualiti bersama.
Pasangan boleh mendapatkan bantuan kaunseling sekiranya tekanan emosi mula menjejaskan hubungan. Bantuan profesional bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah untuk membina semula keyakinan dan persefahaman.
Lelaki juga berhak untuk bersedih
Apabila pasangan belum dikurniakan anak, masyarakat sering memberikan perhatian kepada kesedihan wanita. Namun, lelaki juga boleh mengalami kekecewaan, keresahan dan perasaan kehilangan. Bezanya, sebahagian mereka mungkin memilih untuk menyembunyikan emosi kerana tidak mahu kelihatan lemah.
Masyarakat perlu berhenti mengukur kelelakian berdasarkan kemampuan memperoleh zuriat semata-mata. Seorang lelaki tetap mempunyai nilai melalui kasih sayang, kesetiaan, tanggungjawab dan kematangannya menghadapi cabaran kehidupan.
Diagnosis infertiliti mungkin mengubah perjalanan mendapatkan anak, tetapi tidak semestinya menentukan kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Kerana nilai seorang lelaki bukan terletak pada kemampuannya menjadi bapa semata-mata, tetapi juga pada kesanggupannya terus mencintai dan menghargai pasangan ketika kehidupan sedang menguji.

Penulis ialah kaunselor berdaftar, pegawai psikologi dan penyelidik PhD dalam bidang psikologi subfertiliti di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.
Foto: Pexels
